Custom Search

Tuesday, December 22, 2009

Ida Nerina tak setuju bercerai

Ida Nerina tak setuju bercerai

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Ida akan hadir ke mahkamah bulan depan. Dia kini berada di India kerana menerima rawatan,” kata peguam Akbardin Abdul Kadir kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berhubung kegagalan pelakon Ida Nerina hadir bagi mendengar permohonan pengesahan lafaz cerai difailkan suaminya.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin, Akbardin berkata pihaknya sudah menerima saman dan penyata tuntutan daripada suami Ida, Sha’arin Mohammed Razali.

Ida bagaimanapun tidak bersetuju dengan tuntutan itu dan akan memfailkan penyata pembelaan sebaik pulang ke tanah air.

Akbardin juga memaklumkan beliau baru dilantik untuk mewakili pelakon itu, bagaimanapun surat pelantikan belum dikemukakan berikutan anak guamnya berada di luar negara.





Sementara itu, Sha’arin, 40, bekas anggota kumpulan Black Rose diwakili peguam Mahyuddin Md Zahari, juga tidak hadir ke mahkamah dengan alasan kini berada di luar kawasan.


Hakim Syarie Mohd Yunus menetapkan 22 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Oktober lalu, Sha’arin memfailkan permohonan pengesahan cerai selepas mendakwa ada melafazkannya terhadap pelakon filem Layar Lara dan Susuk, Ida Nerina Hussain, 45, pada September lalu.



Pasangan itu berkahwin pada 26 Jun 2006, namun belum dikurniakan cahaya mata tetapi menerusi perkahwinan pertama, Sha’arin mempunyai dua anak, iaitu Narissa, 14, dan Arman, 8.

Sebelum ini, Sha’arin ada memberitahu mahkamah dia sudah meninggalkan Ida yang kini tinggal bersama pembantu rumah di kediaman kelamin mereka di Kosmopolitan Damansara Perdana, manakala dia kembali menetap bersama keluarga di Seputeh.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai permohonan pengesahan cerai yang dikatakan dilafazkan Sha’arin terhadap Ida pada Aidilfitri kedua lalu, namun tidak diketahui sebabnya.

Tiga bulan sebelum lafaz cerai itu, pelakon yang pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik FFM13 dan Aktres Terbaik Anugerah Skrin 1994 dilaporkan tergelincir dari tangga kediamannya di Persiaran Syed Putra di sini, pada 21 Jun lalu.


Dia yang ketika itu hendak ke meja makan mengalami keretakan di tulang belakang. Kejadian berlaku jam 3.30 pagi selepas pelakon itu selesai berlakon teater ‘The Good Body’ di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.

Monday, December 21, 2009

Saya tak peduli- Zizie Izette

Saya tak peduli

Oleh Ramlah Zainal dan Muhd Izawan Baharin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya tak kisah orang nak cakap apa pun selepas ini. Itu terpulanglah kepada mereka. Pada masa sama, saya juga tidak tertekan dengan apa yang berlaku.

“Apa yang penting, saya melakukan perkara yang baik di sisi Allah. Siapa pun jodoh saya, itu ketentuan Allah. Saya juga mendapat restu keluarga sebelum memutuskan untuk berkahwin dengannya,” kata pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad ketika diminta mengulas mengenai pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Selepas sekian lama berteka-teki, Zizie akhirnya tampil membuat pengakuan dia memang sudah berkahwin dengan Bung Moktar seperti dihebohkan ketika ini.

Sehubungan itu, Zizie, 31, ketika dihubungi Harian Metro semalam berharap pihak media tidak akan memperbesarkan lagi cerita itu selepas pengakuannya.





“Maaflah, saya tak boleh beritahu lebih lanjut di mana dan bilakah majlis pernikahan kami berlangsung.


“Saya juga tak dapat mengulas lanjut cerita berkaitan majlis pernikahan kami kerana perlu menjaga hati pihak satu lagi (isteri pertama Bung Moktar, Datin Nor Asidah Alimuddin),” katanya.

Zizie berkata, dia yakin keputusannya menamatkan zaman bujang perkara terbaik dilakukan dalam hidupnya.

“Sebelum ini, saya memang tak pernah menyembunyikan apa-apa daripada media mahupun peminat kerana saya tak suka bersikap hipokrit. Cuma kali ini saya terpaksa berdiam diri daripada bercerita perkara sebenar untuk kebaikan semua pihak.


“Saya berharap media dan peminat memahami keadaan dan situasi yang saya hadapi ketika ini. Saya juga ucapkan jutaan terima kasih kepada media yang sentiasa menyokong,” katanya.

Zizie berkata, dia akan tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa.


“Bagi saya, semuanya selesai. Saya masih di lokasi penggambaran drama Suraya sehingga 25 Disember ini. Selepas semuanya reda dan apabila sampai masanya, saya akan fokus kepada kerjaya seni dan syarikat produksi yang ditubuhkan lebih sebulan lalu, 2121 Vision Pictures Sdn Bhd,” katanya.

layan lagu lagu terkini klik disini sekarang Jugak

Sila gunakan GOOGLE
SEARCH untuk semua pencarian

Sunday, December 20, 2009

Bedah di hotel-20/12/2009

Bedah di hotel

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Kemaruk bedah plastik serta tidak mahu menunggu lama untuk mencantikkan wajah dan penampilan diri, ada wanita sanggup menghadapi risiko mendapatkan perkhidmatan ‘doktor ajaib’ dari luar negara yang melakukan pembedahan kosmetik selama tiga jam di bilik hotel di bandar raya ini.

Lebih mengejutkan, tanpa was-was dan prasangka terhadap keselamatan masing-masing, wanita terbabit juga sanggup memperjudikan anggota tubuh yang ingin diubah doktor dikatakan berkebolehan melakukan proses pembedahan hidung, kelopak mata dan menegangkan wajah dalam tempoh singkat.

Pakar bedah tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Roy berkata, doktor dari Hong Kong dan China itu mendakwa kononnya memiliki kepakaran lebih tinggi berikutan berkebolehan melakukan pembedahan di bilik hotel tanpa peralatan lengkap, manakala pesakit tidak perlu melalui prosedur sulit.

Menurutnya, berbekalkan suntikan bius bagi menahan sakit, jarum, benang, pisau, gunting dan beberapa peralatan asas pembedahan, ‘doktor ajaib’ terbabit didakwa mampu mengubah penampilan wanita tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.






“Mana-mana wanita boleh membuat temu janji bagi menjalani pembedahan kosmetik dengan doktor yang tinggal di luar negara itu dengan mudah selepas menghubunginya.

“Doktor terbabit sanggup menaburkan pelbagai janji kepada wanita bagi meyakinkan kepakaran mereka selain mengenakan syarat jika berminat perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Roy berkata, antara syarat ditetapkan ialah tidak membongkar rahsia mengenai pembedahan yang bakal dijalankan kepada pihak lain bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Menurutnya, pesakit juga perlu membiayai kos tiket penerbangan doktor dan pembantunya yang dibawa bersama.




“Ada antara pelanggan juga dikenakan syarat membayar bilik hotel yang disewa berkenaan.

“Hakikatnya, kos pembedahan yang terpaksa dibiayai wanita terbabit adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding di pusat perubatan tempatan kerana mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.

Roy berkata, wanita yang kebiasaannya mendapatkan perkhidmatan doktor terbabit terdiri daripada ahli perniagaan, suri rumah serta eksekutif yang mempunyai pelbagai masalah berusia 30-an hingga 50-an.

“Perbuatan itu mengundang padah kepada wanita terbabit kerana bukan saja perlu menanggung kos berlipat kali ganda, malah mudah terdedah pada jangkitan kuman hingga memudaratkan kesihatan.

“Ada juga yang tertipu apabila doktor terbabit gagal menawarkan rawatan susulan selepas mengambil wang mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lipolisis and Mediceutical Clinic, Dr Ungku Mohd Shahrin, berkata seorang pelanggan ‘doktor ajaib’ terbabit pernah datang ke kliniknya dengan hidung berbalut dan terpaksa menanggung penderitaan selepas melakukan pembedahan kosmetik di hidung.



“Ini berikutan ‘doktor’ terbabit gagal memberi rawatan susulan terhadap wanita berusia 30-an itu yang sepatutnya membuka jahitan di hidung selepas tempoh tertentu.

“Wanita itu mengakui menjalani pembedahan di bilik hotel. Bagaimanapun, ‘doktor’ terbabit gagal kembali semula ke negara ini bagi melakukan rawatan susulan hingga mengakibatkan wanita itu kesakitan.

“Kerana simpati, klinik kami terpaksa merawat wanita berkenaan bagi mengelakkan keadaannya bertambah parah,” katanya.

Dr Ungku Mohd Shahrin berkata, mengikut prosedur, setiap pesakit yang ingin menjalankan pembedahan perlu dinilai tahap kesihatan mereka terlebih dulu.

“Sekiranya mereka mempunyai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi, pakar bedah terpaksa melakukan kawalan lebih ketat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub, berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan sepatutnya melaporkan kepada jabatan secepat mungkin.

Katanya, tindakan segera itu membolehkan jabatan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa sanggup menjalankan pembedahan di bilik hotel.

“Menjadikan bilik hotel sebagai premis menawarkan perkhidmatan perubatan adalah satu kesalahan.




“Hingga kini kami tidak menerima sebarang aduan mengenai kegiatan itu. Mungkin wanita yang terpaksa menanggung derita segan untuk tampil melaporkannya.

“Orang ramai dinasihati mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang berdaftar dan berlesen,” katanya ketika dihubungi.

LAYARI LAGU LAGU TERBARU KLIK DI SINI SEKARANG


ANDA BOLEH MEMBUAT CARIAN DI GOOGLE SEARCH DI ATAS



Saturday, December 19, 2009

Janda ekspres - berita hari ini 20/12/2009

Janda ekspres

Oleh NAZARALI SAERIL, MARY VICTORIA DASS, MOHD FAUZI ABDULLAH, SITI FATIMAH HASSAN, ZAID SALIM dan ROHAYA BU-ZA
metahad@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sangkakan hujan hingga ke petang, rupanya panas di tengah hari. Begitulah nasib sebilangan wanita berumur bawah 30 tahun yang mengharapkan kebahagiaan selama-lamanya dalam perkahwinan mereka tetapi hanya tinggal impian berikutan diceraikan suami ketika inai masih merah di jari.

Lebih teruk lagi, semakin ramai di kalangan janda muda itu yang hanya bergelar ‘isteri seminggu atau sebulan’.

Mengusutkan keadaan, mereka turut dituduh menjadi punca perceraian sedangkan hakikatnya suami membuat hal, termasuk mahu menjadikan si isteri sebagai keldai dadah.

Berikut adalah pendedahan dua wanita yang hanya sempat menikmati seketika hidup sebagai isteri sebelum mengemas beg pakaian keluar rumah bersama gelaran janda muda.



KES 1 - WATI, 28 TAHUN:

“Baru dua hari kahwin suami sudah buat perangai, namun saya bersyukur kerana perceraian dalam usia muda memberi hikmah kepada saya untuk mencari lelaki lebih baik. Akhirnya kami berpisah selepas genap seminggu bergelar suami isteri.

Walaupun tidak sempat menikmati keindahan alam rumah tangga seperti pasangan pengantin baru lain, keputusan berpisah dengan lelaki dikenali ketika di alam persekolahan itu membahagiakan saya yang terseksa selepas rahsia bahawa suami adalah pengedar dadah terbongkar.

Sebaik menyedari suami terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah, hati saya bercelaru dan bimbang. Ini kerana dia memaksa saya menjual dadah.

Rahsia suami adalah pengedar dadah terbongkar pada malam pertama perkahwinan kami apabila dia tiba-tiba memaksa saya membantunya menjual dadah.

Terkejut dengan sikapnya selain bimbang dituduh bersubahat, saya menolak cadangan pelik itu, menyebabkannya berang.



Suami turut melakukan perbuatan tidak saya suka, termasuk mengajak ke pusat snuker.

Ketika itu baru saya menyedari rupa-rupanya dia mengahwini saya bukan atas dasar cinta dan kasih sayang, sebaliknya mahu menjadikan saya alat bagi melancarkan kegiatan pengedaran dadahnya.

Saya bersetuju mengahwininya yang sebelum itu bekerja di Kuala Lumpur sebaik pulang ke kampung di utara tanah air.

Oleh kerana mengenalinya sejak sekian lama, saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju menerima lamarannya.

Namun, kebahagiaan yang saya harapkan dalam hidup berumahtangga tidak sempat dinikmati apabila malam pertama dan seterusnya dilalui dalam keadaan dingin.

Saya pernah menceritakan kegiatan dan perlakuan ganas lelaki terbabit kepada keluarga dan menyuarakan hasrat untuk berpisah selepas dua hari menjadi isteri, namun keinginan itu dibantah keluarga yang tetap berharap kami bahagia.

Kesabaran dan sikap menghormati suami yang ada pada diri saya hanya mampu bertahan seminggu apabila keluarga akhirnya bersetuju dengan keputusan berpisah dengan lelaki terbabit.

Bagi saya, perkahwinan dilalui satu pengajaran buat diri untuk menilai hati budi pasangan supaya tidak menjadi mangsa, selain memastikan mahligai dibina terus bertahan,” katanya.



KES 2 - INA, 22 TAHUN:

“SAYA memasang impian untuk sehidup semati bersamanya, malangnya semua berakhir dalam tempoh masa genap 50 hari apabila suami menjatuhkan talak tiga pada 26 Ogos lalu.

Kurang 24 jam sebelum itu, dia menghubungi saya dan menjatuhkan talak satu dan ketika saya masih terawang-awang dengan perkara terbabit, suami menghubungi saya sekali lagi dan menjatuhkan talak tiga pula.

Lebih mengecewakan, suami yang memberi janji manis sebelum mengambil saya sebagai isteri turut menyatakan terdesak mengambil keputusan bercerai berikutan menganggap saya sebagai adik angkat.

Masih jelas dalam ingatan perkenalan manis kami. Saya mengenalinya di sebuah pusat hiburan di Johor Bahru dan selesa dengan perwatakan baiknya yang ikhlas berkawan tanpa memandang serong pekerjaan saya sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Dia yang ketika itu mengunjungi Johor Bahru bagi menduduki peperiksaan di sebuah universiti berikutan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi juga menunjukkan minat untuk mengenali saya lebih rapat.

Dalam tempoh dua minggu, percintaan kami berputik sebelum dia menyatakan hasrat mahu menjadikan saya sebagai teman hidup iaitu sebagai isteri kedua dengan alasan mahu menyelamatkan masa depan saya daripada terus bergelumang dalam dunia GRO.

Saya semakin yakin dan percaya kehidupan rumah tangga yang bakal didirikan dengannya yang berusia 39 tahun pasti bahagia apabila dia kelihatan ikhlas serta sanggup mendapatkan restu daripada ibu serta ahli keluarga bagi menyatakan niatnya.

Dia yang berkelulusan tinggi berbanding saya yang hanya bertaraf sekolah rendah dilihat mampu menjadi petunjuk dalam hidup, termasuk daripada segi agama memandangkan perbezaan usia kami 17 tahun.

Akhirnya, kami bernikah di Narathiwat, Thailand pada 5 Julai lalu. Saya turut ditemani kakak dan dua kenalan suami. Bagaimanapun, selepas itu bermulalah episod hitam dalam hidup.

Suami yang berjawatan tinggi berpendapatan lebih RM8,000 sebulan juga seolah-olah bersikap dingin bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai suami.

Sudahlah saya hilang punca pendapatan hampir RM3,000 apabila berhenti kerja sebagai GRO atas nasihatnya, saya juga tidak selesa apabila dia menganggap saya sebagai bebanan dengan mengungkit dia ada pelbagai tanggungjawab, termasuk menanggung hutang bank RM300,000.



Saya juga tertekan dengan sikap suami yang tidak menghormati saya sebagai isteri. Akhirnya, genap 50 hari kami bergelar suami isteri, dia menceraikan saya dengan talak tiga.

Saya gagal menghubunginya berikutan dia menukar nombor telefon bimbit.

Dia lepas tangan hingga mengakibatkan maruah saya tercalar.

Saya difahamkan dia bersama isterinya kini mengerjakan umrah di Tanah Suci, sedangkan saya merana dengan perbuatannya.

Saya hampir gila memikirkan perbuatannya dan kini terpaksa kembali bekerja sebagai GRO bagi menyara kehidupan dan menanggung ibu yang sudah tua.

Saya berdoa supaya diberi kesabaran bagi menempuhi saat sukar ini dan bercadang menuntut hak sebagai isteri supaya masalah saya menjadi pengajaran berguna pada lelaki berhidung belang seperti bekas suami.

Saya juga sudah melaporkan kepada Pejabat Agama Islam Johor,” katanya.


Kalau hendak mendengar lagu lagu terkini klik disini


Sila gunakan GOOGLE
SEARCH untuk semua pencarian

Thursday, December 10, 2009

Berita hari ini 11/12/2009

Berita hari ini 11/12/2009

Putus tunang RM1j

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Sudahlah mahligai diimpikan musnah, merpati dua sejoli yang pernah diikat dengan tali pertunangan kini terjebak pula pertikaian bagi mendapatkan semula barangan pemberian ketika bertunang bernilai hampir RM1 juta.

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat komunikasi dan teknologi maklumat, Mohamad Fahizul Khairi, 53, memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap bekas tunangnya, seorang pegawai bank, Nor Daliya Mohd Daud, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Fahizul mendakwa mengalami kerugian dari segi harta benda apabila pertunangannya dengan Nor Daliya putus pada 21 April tahun lalu.

Mereka bertunang pada awal April 2007 sebaik wanita berkenaan tamat tempoh edah perceraiannya dengan suami pertama dan majlis pertunangan diadakan pada 6 Disember 2007 di Pekan, Pahang.




Nor Daliya bercerai dengan suaminya pada 9 Januari 2007 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.




Selepas bertunang, Mohamad Fahizul mendakwa Nor Daliya memintanya menyediakan sebuah rumah sebagai tempat tinggal mereka apabila berumah tangga kelak selain meminta dia menceraikan isterinya.

Mohamad Fahizul mendakwa dia akur permintaan itu dan membeli rumah teres dua setengah tingkat di Bandar Utama, Petaling Jaya dan disebabkan desakan Nor Daliya, dia menceraikan isterinya pada 7 April 2008, tetapi mereka rujuk kembali dalam tempoh edah.

Lelaki itu mendakwa terpaksa membuat bayaran termasuk kos pengubahsuaian, membeli barangan rumah, kos ejen hartanah dan wang deposit bagi membeli kereta Honda Civic kepada defendan berjumlah RM871,186.57.

Mohamad Fahizul mendakwa, sepanjang tempoh pertunangan itu, berlaku perselisihan faham dan pergaduhan dengan Nor Daliya kerana mengesyaki tunangnya curang.

Selepas memutuskan pertunangan, kedua-dua pihak berbincang dan mencapai persetujuan bahawa Nor Daliya akan memulangkan segala pemberian termasuk rumah teres dua setengah tingkat atas namanya berharga RM770,000.

Mohamad Fahizul mendakwa, bagi pembiayaan rumah dia mengeluarkan RM570,000 manakala NpR Daliya membuat pinjaman bank RM200,000 bagi melunaskan bakinya.

Menurutnya, pada 19 Mac lalu, Nor Daliya menghantar e-mel melalui peguam kepadanya dan memberitahu dia sudah mendapat pembeli rumah berkenaan.

Berikutan itu, Mohamad Fahizul berkata, dia khuatir bekas tunangnya itu mengambil hasil jualan rumah berkenaan tanpa merujuk kepadanya.

Dalam prosiding itu, Hakim Mohammad Adib Husain menetapkan 1 Februari tahun depan untuk keputusan bantahan awal yang difailkan Nor Daliya berhubung tuntutan itu.





Beliau menetapkan tarikh itu untuk memberi peluang kepada peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Nor Daliya bagi memfailkan hujahan balas terhadap bantahan awal berkenaan.

Pada prosiding berkenaan, bekas suami Nor Daliya, Herman Syah Abdul Rahim turut hadir untuk menemani Mohamad Fahizul.

Defendan diwakili peguam Mohamad Isa Abd Ralip.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pihaknya memfailkan permohonan itu pada 7 Mei lalu, manakala defendan membuat bantahan awal pada 8 Julai.

Menurutnya, dalam bantahan awal itu, defendan mendakwa pemberian itu tidak termasuk dalam tempoh pertunangan, tetapi sebagai hadiah ketika plaintif memikatnya.

Berita hari ini 11/12/2009.

Wednesday, December 9, 2009

Pukau emas RM1j - berita hari ini 10/12/2009



Pukau emas RM1j

Oleh Zaid Salim dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: “Sebaik tangan disentuh, saya seolah-olah dalam khayalan... saya nampak apa berlaku, tapi kelu dan tak dapat berbuat apa-apa kerana seperti dipukau.

“Saya nampak seorang daripada mereka (penjenayah) menyusup masuk ke bilik kebal dan mahu memaklumkan kejadian itu kepada pemilik kedai, namun keliru dan tidak keruan,” kata Suhaida Abdul Wahab, 33.

Suhaida antara saksi utama kejadian samun disyaki menggunakan ilmu pukau di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Zainal Abidin berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini, membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta, kira-kira jam 2 petang semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang pengedar barangan kemas memasuki kedai berkenaan dan menyimpan tiga beg berisi barangan kemas dibawanya dalam peti besi sebelum ke pasar berhampiran untuk makan.




Katanya, selepas beberapa minit pengedar berkenaan meninggalkan kedai terbabit, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab terus memasuki premis itu sambil berpura-pura mahu membeli barangan kemas dipamerkan dalam rak pameran.



“Sejurus memasuki premis berkenaan, tiba-tiba seorang terus menyentuh saya, dipercayai untuk memukau.



“Walaupun nampak apa yang mereka (perompak) buat dalam premis itu, saya tidak mampu bersuara dan hanya melihat pergerakan kumpulan berkenaan,” katanya.

Suhaida berkata, dalam keadaan separuh sedar, dia melihat seorang perompak membawa keluar tiga beg berisi barangan kemas dari kedai berkenaan sebelum meluru ke kereta diletakkan di depan kedai terbabit.

“Saya sempat mengecam wanita berusia 50-an itu menerusi seluar jeans dipakainya manakala tiga lagi lelaki tidak diketahui kerana ingatan saya samar-samar.

“Selepas beberapa minit kumpulan perompak berkenaan keluar dari premis terbabit, saya kebingungan dan cuba memberitahu kejadian berlaku kepada pemilik kedai yang ketika itu turut dipukau kumpulan terbabit,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.



Anak pemilik kedai emas berkenaan, Norizah Safura Zakaria, 11, berkata dia tidak sedap hati sebaik seorang warga Arab terbabit memintanya mengambil sebentuk cincin konon untuk dipadankan ke jarinya.

“Ketika melihat wajahnya, tiba-tiba saya berasa takut dan berdebar, apatah lagi saya langsung tidak faham bahasa mereka,” katanya.

Bapanya, Zakaria Yusof, 46, juga mengakui mereka dipukau kerana secara tiba-tiba badan kebas dan khayal selepas disentuh kumpulan penjenayah Timur Tengah terbabit.

“Saya mula sedar apabila seorang pelanggan memberitahu perompak melarikan beg diambil dari peti besi, namun kelibat kumpulan perompak sudah tidak kelihatan.



“Sebaik menyedari kejadian itu, saya segera meminta rakan mengejar perompak terbabit tapi gagal dan sempat mengecam Proton Persona serta nombor pendaftaran dinaiki perompak terbabit sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pengedar berkenaan dan polis,” katanya.

Menurutnya, dia percaya kumpulan berkenaan merancang melakukan rompakan itu kerana beberapa rakannya mendakwa pernah melihat mereka berkeliaran di kawasan pasar berkenaan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyiasatnya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau meminta orang ramai terutama peniaga emas berhati-hati dengan kumpulan penjenayah terbabit yang dianggap licik menggunakan ilmu pukau sebelum melakukan jenayah.

“Saya meminta orang ramai memiliki maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan,” katanya.


Tuesday, December 8, 2009

Isteri pakai buang
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Semalam (kelmarin) genap sebulan dia menjatuhkan talak tiga terhadap saya dengan alasan tak mahu menanggung dosa jika terus memperisterikan saya yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

“Padahal, dia menjadi punca saya kembali ke kancah maksiat meskipun saya memasang impian menjadi suri rumah selepas ,” kata seorang wanita yang mendakwa dijadikan umpama ‘isteri pakai buang’ oleh seorang eksekutif dengan hanya bertopengkan gelaran suami.

Wanita berusia 32 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nana berkata, dia mengenali bekas suaminya di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini pada 2006 sebelum berkahwin di Perlis pada 3 Oktober 2007.

Menurutnya, dia yakin dengan hasrat bekas suami yang ingin berpoligami kerana bukan saja dilihat selesa dari segi kewangan, malah lelaki terbabit pendidikan dari luar negara.




“Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila bekas suami berusia 48 tahun gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami, sebaliknya hanya mahu keseronokan di ranjang selain menikmati hasil pendapatan saya sebagai GRO.




“Dia mengizinkan saya kembali menjadi GRO kerana kononnya tidak mahu menghalang keinginan saya sedangkan dia menyedari saya terdesak melakukan kerja itu kerana tiada sumber pendapatan.

“Nasib saya tiada beza dengan pelacur kerana bekas suami tidak pernah mengakui saya sebagai isteri kedua selain membiarkan saya berseorangan menguruskan rumah tangga termasuk membayar duit sewa rumah. Lebih mengecewakan, saya umpama ‘hidangan’ waktu tengah hari hampir setiap hari apabila dia sanggup membohongi kakitangan pejabatnya kononnya ingin berjumpa pelanggan sedangkan waktu itu sebenarnya digunakan untuk memuaskan nafsunya,” katanya yang sudah sembilan tahun menjadi GRO.

Nana mendakwa pernah mengalami keguguran kerana tertekan dengan perangai bekas suaminya.

Menurutnya, lelaki terbabit menggunakan hasil titik peluhnya sebagai GRO untuk menampung perbelanjaan termasuk membayar ansuran dua kereta mewah dimilikinya selain menguruskan perbelanjaan keluarga isteri pertama biarpun pendapatan bulanannya sendiri mencecah lima angka.


“Biarpun tertekan dengan perbuatannya, saya tetap menyayanginya sebagai suami kerana percaya dia akan berubah.

“Siapa tidak terkilan apabila suami menjatuhkan talak tiga sekali gus pada jam 8.45 pagi 7 November lalu secara spontan di telefon apabila hubungan kami diketahui isteri pertamanya.


“Dia memang menganiaya saya dengan janji-janji manisnya. Akibatnya saya tertekan dan diserang sakit jantung hingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 8 November,” katanya yang menambah perbuatan lelaki itu menghancurkan segala harapan dan impian dibina mereka.

Nana berkata, berikutan patah hati dengan perbuatan suaminya, dia kerap mengalami masalah kesihatan sehingga kehilangan berat badan hampir 10 kilogram dalam tempoh sebulan.

Lebih malang, katanya, doktor yang merawatnya menyatakan dia boleh mengalami masalah kesihatan serius kerana kandungan darah dalam badan berkurangan secara mendadak.


“Saya nekad menguatkan semangat termasuk membuat laporan mengenai perbuatan suami di Pejabat Agama Johor Bahru.

“Saya juga ingin menuntut hak sebagai bekas isteri di mahkamah syariah kerana tidak mahu lelaki sepertinya memperdaya gadis lain untuk dijadikan mangsa dengan menggunakan lesen perkahwinan,” katanya.