Custom Search

Friday, December 4, 2009

Along jaja nama artis

Along jaja nama artis

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhd Izawan Baharin




KUALA LUMPUR: “Kami tidak ada kena mengena dengan along, jadi mereka perlu hentikan perbuatan itu,” kata beberapa artis popular yang gambar mereka digunakan ceti haram untuk 'memancing' orang ramai membuat pinjaman.

Berdasarkan tinjauan di sekitar Ampang dan Bangsar, di sini, ceti haram terbabit meletakkan beberapa gambar artis tempatan antaranya Fasha Sandha, Mawi, Lisdawati, Diana Danielle, Cat Farish termasuk Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dalam iklan mereka untuk menarik keyakinan orang ramai.

Along mendakwa kononnya golongan artis dan VIP turut meminjam wang daripada mereka sebelum menjadi kaya serta memilih lokasi seperti di tiang elektrik, peti kuasa elektrik dan pondok telefon untuk menampal iklan berkenaan.

Langkah menggunakan gambar dan nama artis itu dipercayai akibat terdesak selepas perniagaan mereka semakin terhimpit dengan tindakan tegas pihak berkuasa baru-baru ini.



Fasha Sandha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan, 25, berkata dia tahu mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab itu beberapa bulan lalu.



“Jika mereka memberi pinjaman tanpa mengikut undang-undang, ia satu kesalahan, tetapi apabila mempergunakan nama atau gambar orang lain untuk memperdaya orang ramai, mereka sudah melakukan dua kesalahan,” katanya.

Dia berharap perbuatan tidak bertanggungjawab itu dihentikan segera kerana tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan ceti haram itu.

Mawi atau Asmawi Ani, 28, pula terkejut apabila gambarnya digunakan untuk memperdaya orang ramai.

“Mungkin sebab mereka tertekan dan cuba menggunakan orang yang mempunyai peminat dan pengaruh seperti artis untuk menipu, jadi saya harap orang ramai tidak terpedaya,” katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, dia mungkin akan membuat laporan polis kerana perbuatan itu boleh menjejaskan imejnya.



“Walaupun orang ramai sedar ia satu penipuan, tetapi menyalah guna gambar artis adalah satu penganiayaan,” katanya.

Menurutnya, ceti haram sering menukar taktik untuk memperdaya orang ramai, tetapi menggunakan gambar artis baru kali pertama disedarinya.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu sebelum ada pihak terpedaya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan perbuatan sama dikesan di Johor Bahru, tetapi hanya poster Fasha Sandha digunakan sebagai bahan pelaris.

No comments:

Post a Comment