Custom Search

Monday, December 7, 2009

Ayah tak berdaya - 8/12/2009

Ayah tak berdaya

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my


MUADZAM SHAH: “Saya hanya melihat tangan dan kepala tiga anak terkapai-kapai dalam air manakala seorang lagi sudah tenggelam sebelum terjun menyelamatkan mereka.

“Namun, saya tak berdaya mendapatkan semua mereka kerana paras air agak dalam, kira-kira 10 kaki,” kata Md Shamsuri Maulana, 46, bapa kepada empat beradik yang lemas ketika mandi di tali air sebuah ladang kelapa sawit persendirian berhampiran Kota Bahagia, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, empat beradik berkenaan, Mohd Syukri, 15, Syafiqah, 15, (kedua-duanya dilahirkan pada tahun sama) Mohd Syafiq, 12, dan Nursyakira, 8, lemas kerana tidak pandai berenang.

Mayat empat beradik berkenaan dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah yang bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi orang awam sebelum dibawa ke Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk bedah siasat.



Menurut Md Shamsuri, sebelum kejadian, mereka sekeluarga memancing di tali air ladang kelapa sawit berkenaan selepas bertolak dari rumah di Kota Syahbandar di sini, kira-kira jam 11 pagi dengan menaiki van.




Katanya, selain empat anak yang lemas dalam tragedi itu, dia turut membawa isteri, Saeyah Mohd Nor, 38, bersama dua lagi anak yang juga pasangan kembar berusia enam tahun, Nurainun Syahirah dan Nurainun Syahriah.

“Saya mengambil kesempatan cuti hari ini (semalam) untuk membawa keluarga berkelah sambil memancing kerana sebelum ini tiada masa berbuat demikian disebabkan sibuk dengan tugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang.

“Saya tak sangka hasrat membawa keluarga berkelah sempena cuti sekolah untuk merapatkan hubungan keluarga berakhir tragedi apabila empat anak meninggal dunia serentak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HMS.

Menceritakan kejadian itu, Md Shamsuri berkata, sebaik tiba di tali air itu, mereka sekeluarga terus memancing sebelum empat anaknya meminta kebenaran untuk mandi.

“Isteri saya sempat berpesan kepada mereka supaya berhati-hati dan tidak mandi di kawasan air dalam. Saya mengizinkan mereka mandi kerana kawasan tempat kami memancing itu hanya separas paha selain arus tidak begitu deras.


“Ketika mereka mandi, saya bersama isteri dan anak kembar memancing dan selepas beberapa ketika, saya tergerak hati menjenguk mereka di samping mahu memanggil makan hidangan yang dibawa dari rumah.

“Namun, alangkah terkejutnya melihat semua mereka sudah tenggelam timbul dalam air sebelum bergegas menyelamatkan mereka.

“Sebaik usaha gagal, saya bergegas naik ke darat dan cuba menghubungi pasukan keselamatan, namun telefon bimbit pula tidak boleh digunakan kerana sudah dimasuki air menyebabkan saya terpaksa berlari keluar dari ladang itu untuk meminta bantuan,” katanya.


“Saya terkilan anak-anak tidak sempat menikmati makan tengah hari disediakan ibu mereka.

“Sempena perkelahan ini, isteri saya menyediakan gulai ikan keli masak tempoyak cili api yang juga kegemaran anak-anak, selain beberapa hidangan lain,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia biasa membawa isteri dan anak-anak memancing kerana kegiatan itu sudah menjadi hobi mereka sekeluarga.


“Dua anak saya baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan yakin mereka lulus berikutan ada kemajuan dalam pelajaran mereka.

“Saya anggap kejadian ini sebagai takdir kerana sebelum kejadian, arwah anak-anak tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya.

Jenazah mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keratong Dua dan Sekolah Kebangsaan (SK) Keratong Dua akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Keratong Tiga.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Cif Inspektor Abdul Rahman Abdul Jalil, berkata seramai 15 anggota polis serta bomba dan penyelamat dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat orang awam, kira-kira jam 2 petang dan menjalankan gerakan mencari dan menyelamat selama dua jam sebelum semua mayat mangsa dapat dibawa ke darat.

Menurutnya, mangsa pertama ditemui Mohd Syukri diikuti Nursyakira, Syafiqah serta Mohd Syafiq sebelum semua mayat mereka dihantar ke HMS untuk bedah siasat.

Katanya, berdasarkan maklumat bapa mangsa, Mohd Syukri dipercayai tergelincir dan cuba diselamatkan adik-adiknya sebelum semua mereka turut lemas kerana tidak pandai berenang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, melawat jenazah mangsa di HMS dan berkata, pihaknya menyalurkan bantuan segera kepada Md Shamsuri untuk mengurangkan bebannya menguruskan pengebumian jenazah empat anaknya.




No comments:

Post a Comment